Waktu Solat Tahajjud

Waktu Solat Tahajjud

Solat Tahajjud hendaklah dilaksanakan pada waktu malam , ini bersesuaian dengan firman Allah swt:

“Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”

(Surah al-Israa 17:79)

Ianya hendaklah dilakukan apabila bangun dari tidur walaupun tidur dalam jangka masa yang singkat (sebentar) . Ini bersesuaian dengan Firman Allah swt:

“Sungguh bangun pada waktu malam itu lebih tepat (khusyuk) dan bacaan pada waktu itu lebih berkesan.”

(Surah Al Muzzammil 73:6)

Perkataan ‘Nasyiah’ dalam ayat tersebut mempunyai makna “bangun pada akhir malam’. Manakala Didalam Surah Al-Muzzammil Allah swt berfirman:

“Hai orang yang berselimut (Muhammad) bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (darinya), (Yaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit. Atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan.”

(Surah al Muzzammil 73:1-6)

Berdasarkan kepada ayat diatas kita dapat simpulkan waktu untuk bangun untuk solat Tahajjud itu terbahagi tiga:

  • Seperdua
  • Kurangilah dari seperdua
  • Lebih dari seperdua

Al-Jazari_Castle_fig1

 

Gambar diatas merupakan jam air ciptaan Al-Jazari seorang ahli sains Islam

Oleh yang demikian, ianya adalah bersifat bebas, terserah kepada kita pilih sahaja waktu-waktu yang kita berasa senang dan selesa untuk mengerjakannya. Namun begitu antara waktu yang afdhal untuk melaksanakannya ialah pada sepertiga malam yang akhir bersesuaian dengan sabda Nabi saw:

Tuhan Kita Yang Mahasuci lagi Mahatinggi turun pada setiap malam ke langit dunia ketiga tinggal sepertiga malam yang akhir dan berseru, ‘Siapa yang berdoa kepadaku akan aku kabulkan.Siapa yang meminta kepadaku akan aku beri.Siapa yang meminta ampunan kepadaku akan aku ampuni,”

(Hadith Riwayat Bukhari Muslim)

 

 

Amr Ibn Ansabah ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda:

“Waktu yang paling dekat antara tuhan dengan hambanya adalah pada tengah malam yang akhir. Jika kamu mampu menjadi orang yang berzikir mengingat Allah pada saat itu, maka lakukanlah.”

(Hadith Riwayat Tirmidzi)

Akhir sekali dapat kita simpulkan beberapa perkara seperti berikut:

  1. Waktu solat tahajjud itu ialah di waktu malam.
  2. Dilaksanakan apabila bangun dari tidur walaupun sekejap.
  3. Waktu yang afdhal ialah pada bahagian akhir malam.